Sabtu, 19 Julai 2008

KANDUNGAN HILANG

Oleh: MUHAMMAD UMAR ISKANDAR

Siapa yang tak gembira kalau harapannya selama ini untuk bergelar datuk dan nenek menjadi kenyataan. Hj Ibrahim dan Hajah Salmah yang sentiasa tersenyum disapa jiran-jiran dan sahabat handai serta sanak saudara bila menantu pertamanya sedang berbadan dua setelah hampir dua tahun berkahwin dengan anak kesayangannya.

Rosnah juga begitu gembira bila dia berjaya membuktikan dirinya juga akan menjadi seorang ibu tidak lama lagi. Suaminya Amran pasti lebih gembira bukan sahaja akan mengesahkan dirinya menjadi “bapa” tetapi paling bermakna kerana anak mereka yang akan lahir merupakan cucu sulong kepada Hi Ibrahim dan Hajah Salmah .

Saperti kebiasaannya, ketibaan anak yang bakal lahir kira-kira tiga bulan lagi itu menjadikan keluarga Haji Ibrahim begitu ceria. Mereka berkira-kira untuk mengadakan kenduri kesyukuran. Bukan sahaja kenduri tersebut sebagai menzahirkan rasa bersyukur yang amat sangat diatas rezeki yang mereka akan terima tetapi dengan harapan bahawa zuriat yang akan melihat dunia nanti selamat dan sempurna tanpa sebarang kesukaran.

Untuk tujuan tersebut, Haji Ibrahim dan Hajah Salmah telah mengundang sanak saudara untuk menyediakan jamuan yang seadanya. Jauh disudut hati mereka, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi sebenarnya sebagai rasa syukur dan gembira yang amat sangat diatas kurnia Allah yang akan tiba tidak lama lagi itu.

Bagi Rosnah dan Amran, sebagai kelazimannya tidak lupa untuk menjalani pemeriksaan dikelinik bagi mempastikan kandungan Rosnah sentiasa sihat. Rosnah juga sering mengambil makanan yang berhasiat supaya anak yang akan lahir nanti juga akan sihat.

Dihari majlis kenduri yang diadakan, Haji Ibrahim dan Hajah Salmah sentiasa tersenyum menyambut kehadiran tetamu. Rosnah sentiasa mengusap-usap kandungannya yang sedang membesar. Amran juga merasa syukur bila kandungan isterinya sihat dan sempurna. Sanak saudara dan sahabat handai yang datang bukan sahaja mengucapkan tahniah tetapi mendoakan supaya kandungan Rosnah akan selamat.

Disubuh yang hening itu, ketika Haji Ibrahim dan Hajah Salmah bersiap-siap untuk kesurau yang tidak jauh dari rumah, mereka dikejutkan dengan suara tangisan Rosnah. Amran juga tergamam dan terkejut dengan keadaan isteri tersayangnya itu. Rosnah tersedu-sedu. Hajah Salmah terus menghampiri menantunya itu. Haji Ibrahim hanya memandang sambil berdiri dimuka pintu bilik.

“Bang Aji, cucu kita dah tak ada!” sepontan suara Hajah Salmah bila melihat Rosnah terbaring longlai. Jelas dilihatnya perut Rosnah macam biasa sahaja, kempis, tidak seperti malam tadi yang memboyot.

“Masallah, kenapa pulak jadi macam tu, Rosnah keguguran ke?” Haji Ibrahim juga terkejut dengan keadaan yang berlaku.

Rosnah terus menangis. Amran masih tak percaya dengan apa yang baru berlaku terhadap isterinya. Amran bertambah pelik, bila tidak ada tanda-tanda Rosnah keguguran. Tidak ada apa-apa kesan darah ditempat tidur Rosnah.

Hajah Salmah menasihati Rosnah supaya bertenang. Haji Ibrahim pula hanya terkedu dengan keadaan yang baru menimpa menantunya. Dia mengingatkan supaya isterinya, Amran dan Rosnah bersabar.

“Bertenanglah, Amran pergi jumpa Makbidan Siah, minta dia datang, tengokkan apa yang patut, panggil juga Ustaz Mat, kita tanya mereka” Haji Ibrahim terus sabar menghadapi suasana itu.

Selepas masing-masing selesai solat subuh, Ammran menjemput Makbidan Siah, bidan yang banyak pengalaman untuk menyambut kelahiran anak-anak kampung. Setibanya dirumah, Makbidan Siah terus menghampiri Rosnah. Haji Ibrahim dan Hajah Salmah serta Amran memerhatikan dengan penuh cemas apa yang sedang dilakukan oleh Makbidan Siah. Sesekali Makbidan memandang wajah mereka. Rosnah sudah tidak menangis macam tadi lagi. Dia lebih banyak bertenang.

“Kak Salmah, Bang Berahim, Amran, bawak bersabar dan bertenanglah, apa yang dah jadi pada Rosnah ni, sudah suratannya begitu.Kalau masih tak percaya yang Rosnah sudah melahirkan, kita bawak kekelinik, periksalah.Anak yang dikandung oleh Rosnah memang dah tak ada. Dah lahir. Cuma cucu Kak Salmah dan Bang Berahim ni dah dijadikan anak angkat oleh penghuni dialam lain” tenang Makbidan Siah memberi penjelasan.

Makbidan Siah yang banyak pengalaman itu yakin dengan apa yang berlaku.

“Jangan susah hati dan bersedih, anak itu selamat dijaga oleh keluarga angkatnya. Kita terimalah apa yang berlaku. Kalau kita meraung menangis pun semuanya dah terjadi, nak buat macamana?” Makbidan Siah menerangkan.

Rosnah kebingungan. Dia bingung dengan kejadian yang baru menimpa dirinya. Yang dia sedar, bila terjaga tadi, dirasa perutnya sudah kempis. Kandungannya yang besar tadi “hilang”. Rosnah mengejutkan Amran. Amran tak percaya dengan apa yang berlaku pada isteri kesayangannya itu. Amran memeriksa tempat tidur Rosnah, memang tidak ada kesan darah tanda Rosnah keguguran.
Kejadian yang menimpa Rosnah menjadi berita hangat pagi itu. Mereka datang bertanya khabar. Ustaz Mat yang berpengalaman dengan suasana seperti itu tenang menasihatkan keluarga Haji Ibrahim.

“Memang kejadian itu berlaku. Memang ada penghuni dialam lain yang tinggal bersama-sama kita. Cuma kita tak nampak. Mungkin keluarga angkat cucu Haji Ibrahim ni sudah lama berhajat, itulah sebabnya anak itu diambilnya. Kita terimalah dengan seikhlasnya. Amran dan Rosnah lebihkan bertenang. Siapa yang tak sayang anak. Dan hampir tujuh bulan Rosnah mengandungkan anak itu, tiba-tiba hilang” tenang Ustaz Mat menasihati keluarga Haji Ibrahim.

Keluarga Haji Ibrahim menerima apa yang berlaku dengan redha. Sebagaimana mereka bersyukur ketika akan menimang cucu, Haji Ibrahim dan Hajah Salmah juga bersyukur dengan apa yang berlaku. Mereka lega bila menantunya Rosnah tidak terus menangis dan bersedih. Amran juga dapat menerima kejadian yang menimpa diri mereka.

Rosnah walaupun sihat, tidak seperti orang yang baru bersalin tetap berpantang juga. Hajah Salmah sentiasa mempastikan supaya menantunya itu mengikut keadaan berpantang.

Cuma, Rosnah merasakan bahawa pada malam-malam tertentu dia akan didatangi “anaknya” itu didalam “mimpi”. Dia melihat anaknya dijaga oleh keluarga yang amat sayang akan anaknya. Rosnah bersyukur dengan apa yang berlaku. Hanya Rosnah yang dapat “melihat” anaknya itu dialam lain. Apa yang berlaku tidak diceritakan kepada suaminya, mahupun kedua-dua mentuanya. Rosnah tidak mahu menjadikan keadaan itu lebih bercelaru. Biarlah dia sahaja yang tahu dan “nampak” anaknya dialam lain.

Akhirnya Rosnah mengandung lagi. Seperti biasa, Haji Ibrahim dan Hajah Salmah serta Amran penuh mengharap supaya kandungan Rosnah kali ini akan selamat.


SEKIAN.

Sabtu, 12 Julai 2008

SAMBUNGAN KISAH TEKSI BAWA BATU NESAN

Maaf, Pengendali Laman masih belum menerima kiriman dari penulis TEKSI yang kisahnya disiarkan minggu lepas. InsyaAllah, jika kami menerimanya, kami akan terus menyiarkannya dilaman ini. Anda yang memeliki kisah-kisah misteri juga dialu-alukan untuk mengirimkannya kepada kami untuk sama-sama dikongsi dengan rakan-rakan yang lain.

Isnin, 7 Julai 2008

TEKSI BAWA BATU NESAN

SEPERTI BIASA RAZALI MEMANDU TEKSI KELILING KUALA LUMPUR. Waktu itu jam menunjukan 11.30 malam. Setengah jam lagi Razali berkira-kira, bolehlah dia mendapat pendapatan agak lebih. Tambang yang akan dikenakan kepada penumpangnya lebih 50%. Bolehlah dia menyelesaikan bayaran yang masih tertangguh. Mana nak bayar yuran peperiksaan sekolah anaknya, mana nak bayar duit teksi yang sudah tertangguh.
"Pening aku mikirkan, tapi nak buat macamana, ini je yang aku boleh, selagi ada tenaga, aku akan bawaklah teksi ni, banyak dah jasanya" Razali bercakap sendiri.

Dia terus menyusuri jalan-jalan Kuala Lumpur yang basah. Hujan baru berhenti. Penumpang pun tak berapa ada. Dalam kegelapan malam, tiba-tiba dia melihat disebelah tepi jalan, Razali nampak ada penumpang menahan teksinya. Dia memperlahankan teksinya. Memang betul, seorang penumpang wanita sambil mengendong anaknya yang baluti selimut. Barangkali kesejukan agaknya.

" Gombak Batu 10 Pak Cik ..." kata perempuan itu sambil membuka pintu belakang.

Perempuan itu duduk dan senyap. Tak ada interaksi antara mereka. Razali pun dah biasa dengan keadaan begitu, kalau penumpangnya diam, dia akan diam. Malas nak bertanya, tambahan hari dah lewat malam, tak ada perkara yang seronok untuk diperbualkan.

Razali terkejut juga bila perempuan itu masuk kedalam teksinya. Harum semerbak memenuhi ruang teksinya. Tiba-tiba sahaja meremang tengkuknya. Dia cuba mencuri pandang melalui cermin yang ada dihadapannya, keadaan gelap menjadikan tidak ada apa-apa yang kelihatan. Anak yang diribanya senyap, sejuk sangatlah tu, lena tidurnya.

Razali terus memandu teksinya membawa penumpangnya dari Jalan Ampang menuju ke Jalan Gombak Batu 10. Jalan memang lengang. Maklumlah sudah pukul 12.00. Razali mencongak-congak, dapatlah RM20.00. Tiba-tiba wanita itu minta Razali memberhentikan teksinya....

bersambung.....

PENGALAMAN YANG DICERITAKAN OLEH RAZALI RIZWAN.




Ahad, 6 Julai 2008

MAJALAH "POPULAR MISTERI"

Saya kerap menulis kisah-kisah misteri dalam majalah tersebut. Popular Misteri masih terus diterbitkan dan masih ramai yang mengikuti setiap kisah yang terpampang hebat didalam keluarnnya yang tetap setia setiap bulan tanpa gagal. Kisah-kisah yang saya tulis bermacam-macam. Misteri bukan maknana seram, misteri mencakup alam semesta yang sudah, sedang dan akan berlalaku.

Sabtu, 5 Julai 2008

APA YANG MISTERI?

MACAM-MACAM YANG PERLU ANDA BACA, BACALAH, CERITALAH, MAJUKAN KEPADA KAMI DISINI - PESONA MISTERI. APA YANG TERSIRAT, AKAN TERSURAT JUA SUDAHNYA, JANGAN LETAKAN DIRI ANDA DALAM DUNIA YANG SERBASALAH INI, BEREHAT, MEMBACA, FIKIRKANLAH SETERUSNYA, ADAKAH KISAH-KISAH MISTERI YANG SAYA BANGKITKAN UNTUK PERHATIAN ANDA BENAR-BENAR BERLAKU ....

ANDA INGIN MENGEMBARA BERSAMA SAYA KE ALAM MISTERI ....

SELAMAT DATANG KE LAMAN "PESONA MISTERI", LAMAN YANG MENJANJIKAN LAIN DARI YANG LAIN, DUNIA PENUH DENGAN MISTERI, PERCAYALAH, ANDA MENGEMBARA KEALAM FANTASI YANG BERPIJAK DIBUMI NYATA ...